Isnin, 24 Mac 2014

Redha Itu Ikhlas, Pasrah Itu Menyerah

 Bismillahirahmaanirrahim

Entri kali ni bertajuk

Redha Itu Ikhlas, Pasrah Itu Menyerah.

Pasti ada pembaca yang pernah dengar kata-kata ini ,. Ya, mungkin juga kedengaran atau terdengar dari kalangan kita atau dari teman teman kita.

Pepatah ini sebenarnya membuatkan akal kita berfikir. Betul juga dengan apa yang dikatakan. Sesungguhnya terdapat maksud yang tersirat di sebalik kata-kata ini. Apakah yang ingin disampaikan melalui enam patah perkataan ini ? Cuba kita semua berfikir sejenak .

Segenggam Tabah - InTeam
Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya


Lirik lagu di atas pula ialah lagu nasyid yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid In-Team yang bertajuk Segenggam Tabah. Cuba hayati nasyid tersebut. Betapa sayunya hati ini apabila mendengar nasyid ini.

Nasyid ini banyak mempersoalkan tentang ketabahan dalam menongkah arus badai mehnah dan tribulasi dalam kehidupan. Persoalannya, apa kaitan Segenggam Tabah dengan tajuk entri kali ini. InsyaAllah, sangat ada kaitannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan redha ? Redha ialah menerima dengan rasa tenang tanpa ada rasa kecewa atau tertekan dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada  kita baik berupa hukum dan peraturan qadha' mahupun sesuatu ketentuan daripadaNya. Sebenarnya, sifat redha ini adalah daripada sifat makrifah serta mahabbah kita kepada Allah Taala untuk mendekatkan lagi diri kita kepadaNya.

Tahukah kita ? Redha Allah kepada hambaNya adalah berupa tambahan kenikmatan, pahala malah ditinggikan lagi darjat kemuliaan kita. Sedangkan redha seorang hamba kepada Allah bererti kita menerima dengan sepenuh hati setiap ketetapan dari Allah yakni dengan melaksanakan segala perintahNya serta menjauhi semua laranganNya.

Ketetapan ini mestilah diterima dengan cara bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan bersabar ketika ditimpa musibah. Pada masa yang sama, kita perlulah berusaha untuk mengubah segala ketetapan yang kita rasa tidak baik untuk diri kita. FirmanNya :

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."

Apa pula yang dimaksudkan dengan pasrah ? Pasrah sebenarnya mempunyai sama maksud dengan redha cuma bezanya pasrah ialah kita menerima kenyataan dengan begitu sahaja tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Oleh itu, inilah perbezaan antara maksud redha dan maksud pasrah yang mana masih ramai orang yang keliru dan belum mengetahuinya. Hal ini sebenarnya boleh mengakibatkan timbulnya persepsi yang salah mahupun pandangan yang serong terhadap makna ayat-ayat yang memerintahkan untuk kita bersikap redha terhadap segala yang Allah tetapkan. Dengan kata lain pasrah akan melahirkan sikap fatalisme sedangkan redha melahirkan sikap optimistisme.

Ingatlah bahawa setiap kesusahan dan cabaran yang kita hadapi merupakan sumber kekuatan kita. Mengapakah begitu ? Hal ini demikian kerana setiap kesusahan itu menjadikan diri kita lebih tabah dan kuat untuk menghadapi masalah yang mendatang. Jadikan setiap kesusahan, keperitan serta halangan sebagai batu loncatan kepada kita untuk mengubah paradigma kehidupan kita.

Andai jatuh, bangkitlah semula. Tabahkan diri dengan segala mehnah dan tribulasi. Janganlah terus mengalah dan menyerah diri. Jadikan segala takdir yang telah tersurat ini sebagai penguat diri. Ingatlah, Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar.

Wahai diri, tabahkanlah hati. Bersyukurlah dengan segala mehnah ini. Sesungguhnya Allah Maha Menyayangi hambaNya yang tidak bersedih malah bersabar dengan tribulasi hidup.
InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan